SUNGAI BULOH 14 Julai – “Kali ini mungkin tak singgah.”
Itulah ungkapan terakhir Noorakhirludin Alam Mohammad Noor, 48 kepada kakaknya yang dihubunginya kira-kira 30 minit sebelum maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 445.9, arah selatan, Rawang dekat sini tengah hari tadi.
Kakaknya, Noor Bunga Mawarraya Mohammad Noor, 49 berkata, adiknya yang tinggal di Pulau Pinang dalam perjalanan bersama isteri, Maskiah 40-an dan anak bongsu, Ezzudin, 11 untuk melawat dua lagi anaknya yang belajar di Cyberjaya dan Pusat Permata Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Pada kebiasaannya dia akan singgah di rumah saya di Cheras setiap kali mereka datang ke sini. Pada kali ini mereka beritahu yang tidak akan singgah dan akan pergi terus ke Bangi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 12.15 tengah hari tersebut membabitkan lima kereta dan sebuah treler serta mengorbankan dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak yang masing-masing menaiki kereta Perodua Alza dan Toyota Vellfire.
Sementara itu, turut cedera parah dalam kemalangan terbabit adalah Ezzudin yang kini dirawat di zon merah. – UTUSAN ONLINE











