KUALA LUMPUR 16 Julai – Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menolak jawatan itu.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan Pandikar Amin adalah berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang perundangan.
Katanya, UMNO juga berharap Pandikar Amin dapat melatih ahli-ahli Dewan Rakyat pembangkang mengenai tatacara sidang dewan berkenaan.
“Pandikar Amin dilantik atas faktor pengalaman luas dalam perundangan dan hal tatacara persidangan Dewan Rakyat. Ini amat membantu.
Saya ada berhubung sendiri dengan beliau dan beliau bersetuju,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Mohamed Apandi mengumumkan menolak tawaran untuk memegang jawatan MT UMNO yang baru diterimanya Sabtu lalu.
Bekas Peguam Negara itu berkata, keputusan itu diambil selepas berfikir panjang dan melakukan solat istikharah memohon petunjuk sama ada wajar untuk menerima atau menolak jawatan tersebut. – UTUSAN ONLINE










