KUALA LUMPUR 28 Julai – Identiti dan jati diri rakyat Malaysia yang saling menghormati antara satu sama lain akan terhakis begitu sahaja kerana empat pancang kenegaraan yang juga merupakan sebahagian daripada kontrak sosial kini mula diganggu-gugat.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan menjelaskan, pancang-pancang itu adalah Islam sebagai agama Persekutuan, raja-raja Melayu sebagai kepemimpinan negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.
Beliau berkata, lebih menyedihkan situasi kini adalah lebih teruk berbanding era penjajahan Inggeris dahulu, di mana usaha merobek empat pancang itu berpunca daripada para pemimpin negara sendiri.
“Walaupun penjajah inggeris melepaskan kita dengan keadaan yang tidak sempurna tetapi sekurang-kurangnya mereka menghormati pancang-pancang kenegaraan kita.
“Ini asas yang perlu jelas. Kita mesti jelas tentang ini kerana kalau pancang-pancang ini dirobohkan maka kita akan kehilangan jati diri sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Ummah di Padang Kelab Sultan Sulaiman di sini, hari ini.
Program yang mengumpulkan hampir 20 tokoh daripada pelbagai bidang itu membicarakan tentang kedudukan agama Islam dan orang Melayu yang kini dirasakan dalam keadaan terancam selepas pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Mengulas mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), Awang menambah, sehingga ke hari ini masih tiada satupun sebab yang konkrit boleh diberikan kerajaan Pakatan Harapan berhubung kesungguhan mereka untuk mengiktirafnya.
“Tidak ada sebab untuk kerajaan mengiktiraf UEC yakni sijil persendirian kerana implikasinya selepas ini akan muncul lagi banyak sekolah persendirian lain menuntut perkara serupa,” katanya.










