KLANG – Pakatan Harapan (PH) perlu menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini demi meneruskan kesinambungan agenda pembangunan negara khususnya di Selangor, kata Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Abdul Rahman.
Beliau berkata, sekiranya PH tidak menang besar, ia memberi isyarat bahawa UMNO dan Pas akan bergabung menentang PH pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Keputusan PRK ini akan menjadi keputusan sangat unik kerana Pas dan UMNO sedang menguji situasi semasa di mana mereka tidak mahu adakan pertandingan tiga penjuru.
“Kalau kita (PH) tidak berjaya menang besar, besar kemungkinan ini dijadikan isyarat bahawa kedua-dua parti itu akan bergabung berentap dengan PH dalam PRU akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program “Kenduri Rakyat Nasi Ambeng” di Masjid Ar-Rahimin, Kampung Telok Menegon di sini malam tadi.
Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, PRK itu akan menjadi garis ukur untuk melihat kerajaan sedia ada meneruskan agenda pembangunan di negara ini khususnya di Selangor. – Bernama










