KUANTAN – Pahang tidak menghadapi banyak masalah untuk menyelesaikan hutang RM3.2 bilion kepada Kerajaan Pusat, ujar Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.
Menurut Muhammad Safian, jumlah tersebut mampu dikurangkan kepada RM1 bilion menjelang akhir tahun ini menerusi penstrukturan semula Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Beliau menjelaskan, penstrukturan semula syarikat bekalan air negeri itu akan membolehkan sejumlah hutang RM2.2 bilion dilupuskan dan bertukar status sebagai geran.
“Daripada jumlah hutang itu, RM2.2 bilion adalah berkaitan bekalan air dan satu dasar sudah dibuat Kerajaan Pusat iaitu apabila distrukturkan semula PAIP, ia (hutang) akan dilupuskan.
“Saya diberi tanggungjawab untuk mengetuai rundingan dengan Kerajaan Pusat dan penstrukturan semula PAIP mungkin dapat muktamadkan hujung tahun ini,” katanya di Wisma Sri Pahang di sini semalam.
Muhammad Safian menambah, baki hutang RM1 bilion lagi akan diselesaikan secara berperingkat menerusi proses rundingan dengan Kerajaan Pusat berhubung beberapa faktor lain.
“Baki hutang itu adalah untuk kita laksanakan projek perumahan awam kos rendah sebelum ini dan pada masa ini ramai (penyewa) tidak membayar sewaan. Proses mengutip tunggakan (sewaan) juga sedang dijalankan.
“Kedua, pinjaman berjumlah RM200 juta lagi adalah ketika Pahang menganjurkan Sukan Malaysia 2012. Baki selebihnya adalah ketika banjir, kita diberikan RM40 juta yang dianggap sebagai pinjaman.
“Kita sedang berunding dengan Kerajaan Pusat untuk menjadikan ia sebagai peruntukan dan bukan hutang,” tambahnya.
Berkata lanjut, beliau menambah, kerajaan negeri juga akan mengutip hutang daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan sumber air empangan di Cameron Highlands dan Tekai untuk menjana elektrik. – K! ONLINE











