KUANTAN – Kerajaan negeri akan lebih tegas dalam penguatkuasaan undang-undang dalam mengutip tunggakan hasil memandangkan jumlah tunggakan pelbagai cukai dan royalti bahan mineral sudah mencecah RM151 juta setakat 31 Mei lepas.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian berkata, ia meliputi cukai tanah, sewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan cukai taksiran am atau cukai pintu.
Tindakan itu juga membolehkan kerajaan negeri merampas tanah atau rumah sewa mereka yang masih tidak mahu membayar tunggakan cukai atau sewa dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas notis dikeluarkan.
“Serahan notis 8A bagi tujuan perampasan adalah langkah terakhir jika pemilik enggan mematuhi notis tuntutan dalam borang 6A iaitu rundingan cara pembayaran atau alternatif bagi menggalakkan mereka membayar cukai.
“Keputusan untuk menguatkuasakan undang-undang itu adalah bagi mendapatkan tunggakan hasil dan mengelakkan jumlahnya terus meningkat pada masa depan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Muhammad Safian berkata, jumlah tunggakan cukai tanah negeri ini ialah RM63.5 juta dengan daerah Kuantan mencatatkan angka tertinggi iaitu RM33.1 juta manakala Cameron Highlands merekodkan jumlah paling rendah iaitu RM559,596. – Bernama











