Pacquiao beraksi di ‘laman sendiri’ - Utusan Malaysia

Pacquiao beraksi di ‘laman sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Julai – Sesi timbang berat badan menjelang pertarungan kejuaraan welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) antara penyandang, Lucas Matthysse dan Manny Pacquiao seperti bukan berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Ratusan penyokong, Pacquiao atau lebih dikenali sebagai Pac Man dari Filipina sebaliknya ‘berkampung’ di galeri penonton pada sesi yang dikendalikan juruacara tinju ternama, Michael Buffer sekali gus menggambarkan LaMaquina bakal berdepan ujian paling getir dalam kariernya di Arena Axiata, Bukit Jalil esok.

Sorakan, “Manny! Manny! Manny!,” kedengaran di segenap dewan tingkat tiga pusat berkenaan sebelum Pac Man, bekas juara dunia dalam lapan kelas berbeza ditimbang seberat 146 paun atau 66.22 kilogram manakala Matthysse, petinju Argentina, dicatat seberat 146.7 paun atau 66.54 kg.

La Maquina (Si Mesin) tampil dengan rekod 39 menang (36 tumbangan – KO) dan empat kalah sementara Pac Man yang kehilangan gelaran welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) kepada Jeff Horn, tahun lalu, memiliki rekod 59 menang (38 KO), tujuh kalah dan dua seri.

Turut hadir menayangkan tali pinggang baharu WBA yang menjadi rebutan mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif Golden Boy Promotion – rakan penganjur, Oscar de la Hoya yang juga bekas juara dunia enam kelas dari Amerika Syarikat.

Satu adegan melucukan tercetus apabila seorang juruacara sebelum Buffer mengarahkan para petinju bagi tujuh sesi timbang terdahulu, menyarungkan semula pakaian mereka setelah didapati seperti ‘tidak senonoh’ kerana hanya berseluar dalam ketika sesi bergambar.

Matthysse, 36, dan Pacquiao, 40, bakal berentap dalam 12 pusingan acara kemuncak ‘Pertarungan Juara-juara’ ini dengan dua daripada 10 perlawanan selingannya turut melibatkan petinju Malaysia, Aiman Hisyam Abu Bakar dan Theena Thayalan.

“Saya sudah bersedia. Semuanya terkawal. Saya cukup bermotivasi dan begitu dahagakan kejuaraan,” kata Pacquiao.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN