‘Pacman’ juara dunia welterweight - Utusan Malaysia

‘Pacman’ juara dunia welterweight

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR sedekad berlalu, petinju terkemuka dunia, Manny Pacquiao akhirnya memperoleh kemenangan knockout (KO) pertama ketika merampas gelaran welterweight Persekutuan Tinju Dunia (WBA) da­ripada Lucas Matthysse.

Kali terakhir petinju Filipina itu memena­ngi perlawanan dengan KO adalah pada 2009 ketika menumbangkan petinju Puerto Rico, Miguel Cotto.

Pada aksi yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Pacquiao atau ‘Pacman’ yang menerima sokongan padu penonton dilihat menampilkan aksi agresif sejak pusi­ngan pertama sebelum memastikan kemena­ngan teknikal (TKO) pada pusingan ketujuh.

Petinju berusia 40 tahun yang memiliki re­kod 60 kemenangan dengan 39 KO itu me­ng­akui dia tidak agresif seperti zaman kemun­caknya, namun mengambil pendekatan ber­jaga-jaga serta sabar sepanjang perlawanan 12 pusingan tersebut.

“Saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini dan mahu dedikasikan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Filipina serta penyokong. Terima kasih juga kepada Presiden Filipina (Rodrigo Duterte) yang hadir menyaksikan perlawanan hari ini (semalam).

“Kami lakukan tugas yang cukup baik pada perlawanan ini. Sejak pusingan pertama, saya memberi keyakinan pada diri sendiri serta sabar menunggu peluang terhidang kerana Matthysse bukan lawan yang mudah,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Turut hadir pada pertarungan tersebut ia­lah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Pacquiao yang juga merupakan seorang Senator di Filipina, kekuatan mental yang dimiliki juga menjadi penyumbang kepada kemenangan tersebut apabila menganggap tum­bukan yang dilancarkan Matthysse atau ‘The Machine’ tidak memberi kesan kepadanya.

“Dalam perlawanan tinju, bukan sahaja fizikal, malah kekuatan mental sangat penting. Saya akui memberi peluang kepada dia untuk lakukan tumbukan tetapi saya menunjukkan reaksi tiada apa yang berlaku,” ujarnya.

Pada masa sama, Pacquiao juga bertekad mempertahankan gelaran tersebut dan sedia untuk berdepan petinju Amerika Syarikat, Floyd Mayweather sekiranya bekas juara dunia itu kembali aktif dalam sukan tersebut.

“Perancangan saya selepas ini adalah untuk mempertahankan kejuaraan. Mengenai sama ada akan membuat perhitungan dengan Mayweather, saya bersedia sekiranya dia kembali daripada persaraan dan aktif dalam sukan ini,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN