Origi, Ings antara pemain dilepaskan Reds - Utusan Malaysia

Origi, Ings antara pemain dilepaskan Reds

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 24 Julai – Liverpool bakal melepaskan lapan pemain yang melibatkan nilai keseluruhan 100 juta pound (RM532 juta).

Penjaga gol bermasalah, Loris Karius dan dua penyerang, Divock Origi serta Danny Ings antara nama besar yang akan mening­galkan Anfield.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sudah membelanjakan 175 juta pound (RM933.38 juta) pada pasaran perpindahan musim pana sini untuk membawa masuk Alisson, Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri.

Dalam usaha mengimbangi perbelanjaan dan peraturan Pe­ngurusan Kewangan Adil (Financial Fair Play) beberapa pemain perlu dikeluarkan, menurut akhbar Britain, Mirror.

Karius, 25, mengharungi musim yang buruk, terutama dua kesilapannya yang menyebabkan Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara, Mei lalu.

Kemasukan Alisson bermakna, dia sudah kehilangan tempatnya kepada penjaga gol Brazil itu.

Origi pula tidak berada dalam pe­rancangan Klopp, dan kelab Sepanyol, Valencia dikhabarkan berminat mendapatkan pe­nyerang Belgium itu.

Origi, 23, menjaringkan enam gol sepanjang dipinjamkan ke kelab Jerman, Wolfsburg, musim lalu dan Reds memberitahu Valencia, pemain itu bernilai sekitar 26 juta pound (RM138 juta).

Reds meletakkan harga 20 juta pound (RM106 juta) untuk Ings, dan Newcastle, Crystal Pa­lace, West Ham serta Southampton berminat mendapatkan khidmatnya.

Klopp juga mahu pemain muda berbakat, Ben Woodburn dipinjamkan, dan kelab Liga Kejuaraan, Sheffield United dan Norwich berminat mendapatkan penyerang itu.

Liverpool sekali lagi akan cuba menjual Lazar Markovic dengan harga 20 juta pound.

Pemain sayap Serbia itu yang pernah di­pinjamkan ke Fenerbahce, Spor­ting Lisbon, Hull dan Anderlecht menarik minat kelab Belgium, Anderlecht dan dua kelab Sepa­nyol, Getafe serta Leganes.

Tiga lagi pemain yang tidak berada dalam perancangan Klopp ialah Marko Grujic, Sheyi Ojo serta Pedro Chiravella. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN