Orang Melayu, umat Islam perlu bangkit - Utusan Malaysia

Orang Melayu, umat Islam perlu bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menggesa semua orang Melayu dan umat Islam menyertai Himpunan Kebangkitan Ummah Malaysia Baharu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14): Islam dan Melayu Terancam yang akan berlangsung pada Sabtu ini bagi mempertahankan hak Melayu, bumiputera dan umat Islam yang semakin terancam sejak kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Sekretariat Ummah, Kamaruzaman Mohamad berkata, himpunan yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 2 petang dan bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru itu akan mengumpulkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil-wakil parti politik, tokoh-tokoh masyarakat dan rakyat yang prihatin terhadap isu-isu yang membabitkan hak Melayu dan agama Islam.

Katanya, beliau berharap masyarakat tampil memberikan sokongan dan mempertahankan golongan Melayu dan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang menjadi kebimbangan kami adalah mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang mana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga terancam.

“Pada masa yang sama, banyak isu-isu agama timbul seolah-olah cuba menjejaskan kedudukan raja-raja Melayu dan kedudukan agama Islam, jadi himpunan ini akan memberi signal kepada kerajaan yang mempunyai niat untuk menyentuh isu ini dan umat Islam perlu bangkit mempertahankan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN