KUCHING – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah menangkap seramai 4,261 pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara menerusi Ops Mega 3.0 yang dilancarkan bermula 1 Julai lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tangkapan itu dibuat berdasarkan kepada 1,506 operasi yang dijalankan di seluruh negara dalam usaha memastikan negara bebas daripada PATI.
“Operasi dalam tempoh hampir sebulan ini sudah memeriksa 16,988 warga asing dengan penahanan teramai melibatkan PATI dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Filipina yang bekerja dalam pelbagai sektor.
“Pada masa sama, seramai 82 majikan yang menggajikan PATI turut ditangkap,” katanya ketika sidang akhbar selepas sempena Mesyuarat Khas Mempertimbangkan Permohonan Permit Masuk Bil.1 di Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Bangunan Tuanku Haji Bujang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafar memberitahu, JIM juga sudah membuat pemeriksaan terhadap 103,082 warga asing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini melibatkan 8,394 operasi di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 24,937 PATI ditangkap bersama 647 majikan yang masih berdegil menggajikan PATI,” katanya. – K! ONLINE









