VIENTIANE 28 Julai – Pasukan penyelamat bergelut dengan lumpur tebal dan banjir di seluruh kawasan pedalaman di selatan Laos bagi mencari mangsa susulan empangan runtuh yang menenggelamkan beberapa buah kampung ketika pihak berkuasa mengandaikan nasib lebih 1,100 penduduk masih lagi menjadi tanda tanya.
Angka sebenar kematian jumlah mangsa yang hilang akibat empangan runtuh Isnin lalu kekal misteri kerana kerumitan operasi menyelamat di kawasan yang tidak dapat diakses dan sikap berahsia pihak berkuasa Komunis Laos dalam berdepan krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Pencarian itu amat rumit dan kebanyakan kawasan tidak boleh diakses dengan kereta mahupun bot dan kami juga mempunyai peralatan moden yang terhad untuk dibawa ke lokasi kejadian,” kata Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Attapeu, Meenaporn Chaichompoo.
Meenaporn berkata, ratusan penduduk lagi masih gagal dikesan, lima hari selepas kejadian.
“Kami tidak dapat mencari 1,126 orang,” katanya menambah 131 orang yang hilang disahkan status mereka oleh ahli keluarga masing-masing.
Pada awalnya, pihak berkuasa mendakwa hanya 27 orang disahkan maut namun Meenaporn mengurangkan angka kematian itu kepada enam tanpa menghurai lanjut.
Dalam pada itu, seorang penduduk kampung mendakwa, dia hanya melihat 65 daripada 650 orang penduduk kampungnya di dua pusat perlindungan yang disediakan kerajaan selepas tragedi itu berlaku.
Bagaimanapun, jurucakap kerajaan tempatan menafikan dakwaan penduduk itu, Bounna Eemchanthavong, 61, dengan memaklumkan hanya 10 orang penduduk daripada kampungnya disahkan hilang.
“Saya tidak tahu jika angka itu betul, kami hanya menunggu lebih banyak maklumat,” kata Eemchanthavong sebagaimana lapor New York Times.
Ketika usaha mencari mangsa empangan runtuh itu diperhebatkan dengan menggunakan bot dan helikopter, penduduk kampung tidak pasti jika jiran dan ahli keluarga mereka telah mati atau berjaya menyelamatkan diri atau terkandas di lereng bukit, pokok dan bumbung rumah sementara menunggu untuk diselamatkan.
Kekeliruan mengenai angka itu semakin menjadi-jadi ekoran kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerap bercanggah dan berubah.
Semalam, The Vientiane Times melaporkan angka kematian meningkat kepada empat orang bercanggah dengan laporan terdahulu yang meletakkan angka kematian pada 27 orang










