KUALA LUMPUR 24 Julai – Menggunakan peluang atas populariti di negara seberang, Indonesia, penyanyi, One Forteen atau Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 28, bakal melancarkan dua single serentak selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Sekarang ini saya kerap ke Indonesia untuk memenuhi undangan persembahan dan juga siri jelajah. Insya-Allah, pada Ogos nanti saya akan mula masuk studio dan merakam dua single baharu.
“Memang saya berniat mengembangkan lagi kerjaya seni saya di Indonesia. Namun tidak bermakna saya akan memberi fokus kepada kerjaya seni di sana. Saya kena pandai bahagi masalah,” katanya.
Dalam pada itu, One berkata, kumpulannya, Forteen yang turut dianggotai Izzue Islam, Ariz dan Amir juga bakal melancarkan single mereka tidak lama lagi.
“Kali ini Forteen akan tampil berbeza. Sangat teruja sebenarnya namun saya tak boleh cakap lebih, kejutan untuk semua,” katanya.- UTUSAN ONLINE










