ROSTOV-ON-DON – Kekecewaan jelas terpancar pada wajah jurulatih Jepun, Akira Nishino apabila skuad kendaliannya tersingkir daripada Piala Dunia 2018 selepas tewas 2-3 kepada Belgium pada pusingan 16 pasukan terbaik di Arena Rostov awal pagi semalam.
Meskipun mendahului perlawanan 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Genki Haraguchi dan Takashi Inui, namun skuad Samurai Biru itu mensia-siakan peluang mara ke suku akhir apabila bolos tiga gol selepas waktu rehat.
Nishino mengakui beliau sukar untuk menerima kekalahan tersebut memandangkan mereka sudah mendahului dengan selesa serta meletakkan Belgium berada dalam tekanan sebelum skuad kendalian Roberto Martinez itu bangkit menyamakan kedudukan.
“Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik serta memberikan tentangan sengit kepada mereka. Saya akui amat sukar untuk menerima kenyataan bahawa kami tewas menerusi gol saat akhir seperti itu,” kata Nishino.
Tambah beliau, barisan pemainnya tidak mampu berkata-kata sebaik sahaja pengadil perlawanan meniup wisel penamat kerana mereka sudah sebelah kaki ke suku akhir ketika mendahului perlawanan 2-0.
“Pemain-pemain Jepun hanya berdiri terpaku ketika berada dalam bilik persalinan kerana mereka tidak mampu berkata apa-apa. Kami hanya mula membuka mulut bercakap antara satu sama lain sebaik tiba di hotel.
“Ketika kami mendahului 2-0, saya membuat keputusan untuk tidak mengeluarkan mana-mana pemain kerana mahu memburu satu lagi gol. Kami cuba untuk musnahkan harapan Belgium tetapi ternyata mereka lebih baik,” ujarnya. – Agensi










