KUALA LUMPUR 27 Julai – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan sokongan terbuka terhadap Rafizi Ramli yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan depan.
1. Thread: Hari ini saya umumkan pencalonan saya untuk kerusi dalam MPP @KEADILAN
Saya juga ingin ulangi sokongan saya bagi @anwaribrahim dipilih sebagai Presiden KEADILAN dalam pemilhan kali ini.
Selain itu, saya juga ingin menyokong Rafizi Ramli sbg calon Timbalan Presiden
— Nik Nazmi (@niknazmi) July 27, 2018
Nik Nazmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa turut menyatakan bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam pemilihan kali ini.
“Saya juga ingin ulangi sokongan saya bagi @anwaribrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dipilih sebagai Presiden PKR dalam pemilihan kali ini.
“Kami telah berjaya ke hadapan setelah zaman reformasi, tetapi perjuangan kita untuk memastikan negara yang lebih adil bagi rakyat kita belum lagi berakhir,” katanya di akaun Twitter miliknya, hari ini.
Naib Presiden PKR, Rafizi mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE








