Neymar tercicir daripada calon Pemain Terbaik Dunia - Utusan Malaysia

Neymar tercicir daripada calon Pemain Terbaik Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 25 Julai – Menduduki tangga ketiga di belakang Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi tahun lalu, namun Neymar tercicir daripada senarai 10 calon akhir anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA 2018.

Penyerang Brazil berusia 26 tahun itu itu yang sanggup berpindah dari Barcelona ke Paris Saint-Germain (PSG) untuk keluar daripada bayangan Messi, bagaimanapun mendapati dirinya tidak cukup bagus untuk tercalon bersama sembilan bintang dunia lain.

Kylian Mbappe, Mohamed Salah, Raphael Varane dan Kevin De Bruyne mewakili calon muka baharu berbanding 24 senarai akhir tahun lalu, manakala N’Golo Kante, Toni Kroos, Gianluigi Buffon, Sergio Ramos serta Luis Suarez antara yang terkeluar dalam pencalonan kali ini.

Bintang tengah Manchester United, Paul Pogba juga antara yang tercicir daripada senarai calon biarpun membantu Perancis menjulang Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun di Rusia.

Pogba, 25, terpaksa memberi laluan kepada tiga rakannya dalam skuad kebangsaan, Mbappe, Antoine Griezmann serta Raphael Varane yang lebih menonjol.

Varane adalah satu-satunya pemain pertahanan yang tercalon, bersama rakan sepasukannya di Real Madrid, Luka Modric – pemenang Bola Emas Piala Dunia 2018.

Prestasi menakjubkan Mohamed Salah pada musim pertama bersama Liverpool turut membolehkan bintang penyerang Mesir itu tercalon bersama tiga lagi bintang Liga Perdana Inggeris – Eden Hazard, Kevin De Bruyne serta Harry Kane.

Pemain profesional, jurulatih, peminat dan media akan mengundi untuk memilih pemenang yang bakal diumumkan oleh badan bola sepak dunia, FIFA pada 24 September. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN