EDISI pertama Sukan Asia telah berlangsung di New Delhi pada Mac 1951 dengan menyaksikan Jepun yang tidak diundang ketika mesyuarat pembentukan Persekutuan Sukan Asia pada 1949 mengungguli temasya pertama itu.
Sukan Asia 1951 dibuka secara rasmi oleh Presiden India, Rajendra Prasad dalam satu majlis pembukaan di Stadium Nasional Dhyan Chand.
Ketika itu, Jepun muncul sebagai juara keseluruhan selepas membawa pulang 24 pingat emas, 21 pingat perak dan 15 gangsa menerusi 57 acara daripada lapan sukan dipertandingkan.
Sebelum itu, Jepun telah dilarang daripada menyertai Sukan Olimpik pada 1948 iaitu selepas negara itu menjadi pencetus kepada perang dunia kedua.
Sukan Asia adalah temasya yang paling tua dalam kalendar Majlis Olimpik Asia (OCA).
Temasya tersebut adalah kesinambungan kepada Sukan Timur Jauh yang telah berlangsung pada 1913 hingga 1938.
Berdasarkan perancangan asal, temasya yang dikenali sebagai Sukan Asia Pertama itu sepatutnya berlangsung pada 1950 namun telah ditunda ke 1951 kerana kelewatan persediaan.
Bagaimanapun kelewatan penganjuran temasya itu tidak menjejaskan penyertaan apabila menyaksikan 11 negara Asia turut serta dengan jumlah keseluruhan 489 atlet mengambil bahagian.
Logo rasmi Sukan Asia Pertama juga amat unik kerana menggunakan lakaran matahari cerah berwarna merah dan gelungan putih di bahagian tengah matahari berkenaan.
Sementara di bahagian bawah matahari tersebut terdapat sebelas gelungan cincin yang menggambarkan negara yang turut serta.
Antara individu yang bertanggungjawab kepada penganjuran Sukan Asia Pertama ialah Anthony de Mello yang juga pengasas Lembaga Kawalan Kriket India, Presiden Persatuan Olimpik India ketika itu, Yadavindra Singh dan Guru Dutt Sondhi yang memegang jawatan selaku Setiausaha Persatuan Olimpik India.










