PASIR PUTEH – Taktik 25 nelayan warga Vietnam mengecat dua bot seperti bot tempatan untuk menangkap ikan secara haram di perairan negara terbongkar selepas Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan mereka semalam.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dua bot yang menceroboh perairan negara itu berjaya ditahan Bot Peronda Maritim diketuai Bentara Kanan Maritim Mohd. Asri Awang kira-kira 67 batu nautika dari Kuala Tok Bali, di sini, pada pukul 1.30 petang.
Menurutnya, seramai 25 nelayan Vietnam berusia antara 17 hingga 56 tahun daripada dua bot itu ditahan dan bot ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua bot dikesan menangkap ikan menggunakan kaedah tunda ganding yang diharamkan digunakan di perairan negara.
“Kita berjaya menahan bot pertama manakala sebuah bot lagi bertindak untuk melarikan diri daripada pemeriksaan namun berjaya ditahan selepas APMM mengejarnya selama sejam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Nurul Hizam berkata, nilai rampasan menerusi Ops Damai yang dijalankan itu dianggarkan mencecah RM2 juta merangkumi nilaian bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan 13,000 liter minyak diesel.
Selain itu, Nurul Hizam berkata, sepanjang tahun ini Maritim Malaysia Kelantan berjaya merampas 23 bot membabitkan 13 bot nelayan asing Vietnam yang menyamar sebagai nelayan tempatan.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan gagal mengemukakan dokumen yang berkaitan. – K! ONLINE










