Nelayan asing ditangkap - Utusan Malaysia

Nelayan asing ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 17 Julai – Taktik nelayan asing Vietnam mewarnakan bot mereka seperti bot tempatan untuk membolehkan mereka menangkap ikan secara haram di perairan negara berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dua bot yang menceroboh perairan negara itu berjaya ditahan Bot Peronda Maritim diketuai Bentara Kanan Maritim Mohd. Asri Awang kira-kira 124 kilometer dari Kuala Tok Bali, dekat sini, pada pukul 1.30 petang.

Menurutnya, seramai 25 nelayan Vietnam berusia dari 17 hingga 56 tahun ditahan dan dua bot itu ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua bot dikesan menangkap ikan menggunakan kaedah tunda ganding yang diharamkan digunakan di perairan negara.

“Kita berjaya menahan  bot pertama manakala sebuah bot lagi  bertindak untuk melepaskan pemeriksaan namun  berjaya ditahan selepas mengejarnya selama sejam,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Nurul Hizam berkata, nilai rampasan menerusi Ops Damai yang dijalankan itu dianggarkan mencecah RM2 juta merangkumi nilaian bot, peralatan menangkap ikan,  hasil tangkapan dan 13,000 liter minyak diesel.

Sepanjang tahun ini, katanya, Maritim Malaysia Kelantan berjaya menahan 23 bot yang membabitkan 13 bot nelayan asing Vietnam yang menyamar sebagai nelayan tempatan.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan gagal mengemukakan dokumen yang berkaitan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN