Nekad buka kedai muzik - Utusan Malaysia

Nekad buka kedai muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 25 Julai – Bukan mudah untuk membuat keputusan mahu mela­bur dalam sesuatu perniagaan terutamanya melibatkan bidang muzik, apatah lagi mahu membuka kedai menjual pelbagai peralatan yang berkaitan.

Perkara pertama yang pasti bermain dalam benak fikiran tentu sekali adakah perniagaan itu mampu mendatangkan keuntungan atau sebaliknya, sekali gus membayangkan berapa lama pula kedai yang dibuka mampu bertahan.

Apabila berbicara tentang muzik, sudah pasti ramai yang teringat dialog antara Mak Dara dan Sabariah dalam filem Ibu Mertua­ku yang berbunyi seperti berikut:

Mak Dara: Siapa dia Kasim Selamat? lawyer? majistret?

Sabariah: Ahli muzik

Mak Dara : Ahli muzik? Memang pantang datuk nenek aku ahli muzik!

Biarpun persepsi terhadap bidang muzik pada masa ini tidak seperti pemikiran masyarakat terdahulu, namun masih ada yang berpendapat muzik itu melalaikan selain tidak mampu memberi jaminan masa depan.

Walau bagaimanapun, bagi Raja Mohamed Faliq Raja Adam, 34, muzik juga mampu me­nyumbang terhadap pembangunan diri seseorang selain bidang tersebut boleh memberikan pendapatan lumayan dan merupakan kerjaya yang baik.

Nyata lulusan dalam bidang Keusahawanan dan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya itu sanggup melaburkan sejumlah wang simpanannya untuk membuka kedai muzik yang beri nama Yamaha Musikita pada awal tahun ini.

Kedai miliknya menjual pelbagai peralatan muzik seper­ti gitar elektrik, gitar akustik, dram, piano, gitar bass, speaker dan sebagainya. Pelbagai alatan muzik yang terdapat di kedainya adalah jenama tersohor seperti Yamaha, Ibanez, Fender, Eqiphone dan Fender Squier.

Raja Mohamed Faliq menjadi usahawan bumiputera pertama di negara ini yang memiliki kedai muzik di bawah syarikat gergasi Yamaha dengan mengete­ngahkan konsep baharu yang tidak memberi fokus terhadap piano, malah turut menjual gitar dan ukelele.

“Kedai ini memberikan pelbagai pilihan kepada pelanggan. Musikita ini adalah sebuah mimpi yang menjadi kenyataan dan saya harus berterima kasih kepada pihak Yamaha yang memberi peluang untuk membuka kedai ini.

“Tentu sekali bukan satu keputusan yang mudah kerana saya ‘gamble’ dengan duit simpanan dan alhamdulillah sejak beberapa bulan dibuka semua­nya berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan terutamanya oleh pelanggan bumiputera,” katanya kepada Utusan Malaysia di Taman Damansara Aliff, di sini baru-baru ini.

Bapa kepada tiga anak, Raja Salma Lydia, 6, Raja Noah Ilham, 5, dan Raja Lana Iman, 11 bulan ini turut berterima kasih kepada isterinya, Noorzuwainah Hashim, 34, yang sentiasa menyokong usahanya untuk berhenti kerja dan membuka kedai muzik.

Usahawan berjiwa kental ini yang bekerja dengan Yamaha Music di Kuala Lumpur selama 10 tahun diberikan peluang oleh Yamaha untuk membuka kedai yang memberi fokus dalam pasaran pelanggan bumiputera.

Johor Bahru dipilih kerana pembangunan di bandar raya ini yang sedang berkembang pesat dan ternyata percaturan yang dibuat sudah mula membuahkan hasil, sekali gus beliau me­rancang untuk membuka sebuah lagi kedai dalam tempoh tiga tahun.

“Walaupun saya tidak membuat promosi secara besar-besaran dan hanya menerusi media sosial seperti Facebook, respons yang diterima amat baik ter­utamanya permintaan untuk menyertai kelas muzik yang secara tidak langsung menyumbang terhadap pembelian peralatan muzik,” katanya sambil memberitahu Yamaha Musikita menawarkan harga berpatutan kepada pelanggannya.

Beliau mengakui keputusan untuk berhenti kerja walaupun mempunyai gaji tetap nyata tepat dan berbaloi kerana semua perancangan dan usahanya kini semakin membuahkan hasil dan berjalan dengan lancar, malah persepsi masyarakat bumipu­tera mengenai muzik itu turut berubah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN