LONDON 10 Julai – Negara terapung pertama dunia yang bakal dibangunkan di Lautan Pasifik menjelang 2022 sudah mula menawarkan mata wang kripto yang akan digunakan untuk membeli hartanah di kawasan unik itu.
Menurut portal Mail Online, rancangan yang diilhamkan oleh pengasas Paypal, Peter Thiel akan menyaksikan pembinaan bandar dengan 300 buah rumah, hotel, restoran dan pejabat di atas kawasan perairan Lautan Pasifik berhampiran Pulau Tahiti.
Pelabur kini boleh mengambil bahagian dalam pembelian mata wang kripto Vayron yang akan dikeluarkan oleh Seasteading Institute untuk mendapatkan hartanah di kawasan itu.
Pelan radikal pembangunan infrastruktur canggih itu dijangka siap pada 2022 dengan kos sebanyak 37 juta pound (RM196 juta).
“Mata wang kripto tersebut diperlukan untuk proses pembelian dan pemilikan hartanah, rumah dan beberapa lagi aset di kawasan itu daripada syarikat Blue Frontiers.
“Jualan awal tersedia hari ini dengan bonus lima hingga 15 peratus. Tarikh jualan awam masih belum ditentukan dengan edisi terhad satu bilion token mata wang kripto Vayron akan dikeluarkan,” jelas badan itu.
Dana yang diperoleh daripada pelabur serta hasil penjualan token berkenaan akan dibahagikan kepada beberapa aktiviti pembangunan melibatkan reka bentuk kejuruteraan zon laut dan pentadbiran awam.
Kerja-kerja pembinaan bandar ‘utopia’ itu akan bermula tahun depan selepas majlis tandatangan perjanjian dengan kerajaan Polinesia Perancis yang diadakan tahun lalu.
Presiden Seasteading Institute, Joe Quirk memberitahu portal Business Insider, selain misi utama untuk membebaskan manusia daripada ahli politik, pasukannya turut memberikan tumpuan kepada fenomena perubahan iklim dalam merealisasikan rancangan pembinaan bandar tersebut.
Kumpulan itu kini melihat pembinaan bandar berkenaan sebagai cara hidup baharu ekoran fenomena peningkatan paras laut yang dijangka melebihi 1.83 meter menjelang akhir abad ini.










