Negara kecil boleh cipta sejarah - Utusan Malaysia

Negara kecil boleh cipta sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Ketua pasukan Croatia, Luka Modric percaya bahawa mereka merupakan skuad yang lebih layak menjuarai Piala Dunia 2018 berbanding Perancis pada aksi final di Stadium Luzhniki awal pagi semalam.

Menurut pemain tonggak Real Madrid berkenaan, prestasi sku­adnya lebih berkualiti pada sai­ngan itu, namun nasib sentiasa tidak menyebelahi mereka sehingga tewas 2-4 pada perlawanan tersebut.

“Saya rasa kami adalah pasukan yang lebih baik tetapi pasukan yang baik tidak semestinya menang kerana ia turut bergantung pada nasib.

“Jujurnya, saya agak terkejut kerana pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Perancis walaupun bola terkena tangan pemain kami secara tidak sengaja.

“Setelah Perancis meraih dua gol, agak sukar untuk kami kembali bangkit lebih-lebih lagi ketinggalan buat kali kedua. Para pemain sudah berusaha untuk menyamakan kedudukan walaupun moral mereka sudah jatuh teruk,” katanya.

Pada perlawanan itu, Modric meraih anugerah bola emas selaku pemain terbaik kejohanan, manakala ‘ayam tamba­tan’ Perancis, Antoine Griezmann dinobatkan sebagai pemain terbaik aksi final.

Mengulas mengenai pencapaiannya pada perlawanan bola sepak terbesar dunia itu, Modric mengakui tidak me­nyangka akan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia 2018.

“Saya tidak sedar yang saya terpilih untuk anugerah tersebut. Ia sudah tentu bukan untuk saya seorang, sebalik­nya layak diterima oleh semua pemain Croatia.

“Kami telah membuktikan bahawa negara kecil boleh mencipta sejarah tersendiri di pentas final. Harap-harap ia dapat diulangi pada masa akan datang,” jelasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN