Nasib Melayu bila tidak bersatu - Utusan Malaysia

Nasib Melayu bila tidak bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA rasa belum terlewat ingin mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana belum lagi sampai 100 hari beliau diangkat menjadi Perdana Menteri yang ketujuh.

Diharapkan gagasan era baharu Malaysia dapat diterjemahkan dalam erti kata sebenar. Rakyat masih lagi tertunggu-tunggu untuk menikmati manfaat daripada manifesto pilihan raya.

Saya cuma memberi perhatian kepada 10 janji sebelum 100 hari tetapi sungguh kecewa janji-janji tersebut belum dilaksanakan. Hanya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dijadikan kadar sifar tetapi harga barang tidak ada perubahan. Kos sara hidup rakyat masih membebankan.

Perkara ini sudah acap kali dipersoalkan ramai pihak dan elok diperingatkan lagi supaya ia tidak ‘tenggelam’ dalam beberapa isu baharu yang menimbulkan banyak persoalan dan sedang hangat dipolemikkan.

Antaranya ‘kerakusan’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan sesuatu dasar dan peraturan dengan membelakangkan Perlembagaan negara. Buat sesuka hati, tanpa dibawa ke Parlimen.

Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 sudah berlangsung. Persidangan dikendalikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu iaitu bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof. Dengan pengalaman yang ada, tentu beliau mampu mengendalikan perjalanan mesyuarat dengan baik.

Tidak mengapalah, sekarang ini barangkali rakyat tidak kisah sangat apa yang berlaku di Parlimen kerana ramai pemimpin yang sudah jadi ‘boneka’.

Suara majoriti rakyat (terutama orang Melayu) tidak dipedulikan lagi. Segala dasar dan perubahan yang kerajaan PH buat semata-mata menurut janji politik yang ternyata menimbulkan keresahan orang Melayu.

Sebelum ini saya amat teruja sebaik sahaja PH membentuk kerajaan. Saya harapkan pemimpin Melayu di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir berani bercakap pasal Islam, bangsa dan bahasa.

Namun, apa yang berlaku sebaliknya pula. Pemimpin yang diharapkan dilihat berfikiran celaru, tidak tahu membezakan antara kuasa dan maruah.

Dr. Mahathir juga selalu mengingatkan orang Melayu supaya bersatu padu dan jangan berpecah. Kalau berpecah orang Melayu akan jadi lemah, kuasa politik Melayu tidak kukuh dan akhirnya ditindas di negara sendiri.

Pesanan ini sangat baik tetapi siapakah sebenarnya memecah-belahkan orang Melayu? Dr. Mahathir mahu orang Melayu bersatu di bawah parti politik mana?

Bawah simbol parti ‘bunga’ atau parti ‘daun’? Apakah tidak boleh orang Melayu bersatu di bawah ‘payung’ UMNO? UMNO adalah parti ‘keramat’ terbukti banyak jasanya kepada rakyat.

PEMERHATI BERKECUALI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN