KUALA LUMPUR 16 Julai – Pemilihan Datuk Mohamad Arif Md. Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dipercayai hanya dimaklumkan kepada Parlimen dalam tempoh yang singkat.
Perkara itu diberitahu oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mendapat maklumat mengenainya daripada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Annuar berkata, Pandikar Amin dalam satu pertemuan dengan Datuk Rosmee Hamzah kira-kira tiga hari lalu dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat itu bahawa belum ada nama yang dihantar kepadanya.
“Beliau datang ke Parlimen dua ke tiga hari lalu dan Setiausaha Dewan memaklumkan belum terima nama (Yang Dipertua Dewan).
“Maksudnya, Pakatan Harapan masih belum ada nama untuk dipilih selepas 2 hari bulan, tiada persetujuan dicapai mereka siapa yang sepatutnya dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini. – UTUSAN ONLINE










