Najib nafi minta sokongan AS - Utusan Malaysia

Najib nafi minta sokongan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan pernah mengarahkan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) menulis surat kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS) untuk memohon sokongan negara tersebut semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau berkata, agensi kerajaan termasuk berkaitan hal ehwal risikan mempunyai kuasa autonomi untuk menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan pertimbangan sendiri.

Sambil menyifatkan tidak tahu menahu mengenai surat berkenaan, Najib memberitahu, surat itu mungkin dihantar dengan niat untuk memelihara kestabilan negara sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh kemenangan tipis.

“Saya terkejut, (malah) tidak tahu pun kewujudannya. Bukan semua surat kena lalu saya.

“Saya tidak berpeluang melihat surat itu, apa yang dilaporkan media (mungkin) adalah mendapatkan sokongan berterusan AS kepada kerajaan jika BN menang, bukan bantuan untuk menang, tetapi selepas pilihan raya,” seperti dilaporkan portal Malaysiakini, hari ini.

Malaysiakini melaporkan, surat bertarikh 4 Mei 2018 itu diutuskan kepada Pengarah CIA, Gina Haspel bagi meminta sokongan AS terhadap pentadbiran Najib sekiranya BN menang mudah atau dengan bilangan kerusi yang sedikit.

Surat itu menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra AS sedangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu memimpin Pakatan Harapan disifatkan sebagai sebagai ‘anti-Barat’. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN