KUALA LUMPUR 17 Julai – Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 2014 telah menunjukkan penyatuan dalam kalangan rakyat negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejadian MH17 merupakan ujian paling getir buat negara tetapi rakyat Malaysia telah menunjukkan penyatuan dengan bersama-sama memberikan sokongan kepada mereka yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi tersebut.
“Hari ini adalah ulang tahun keempat tragedi MH17 yang meragut nyawa 298 penumpang dan anak kapal di mana 43 daripada mereka adalah rakyat Malaysia.
“Kejadian MH17 ini ujian paling getir buat negara tetapi sebagai rakyat Malaysia, kita telah menunjukkan penyatuan kita dan kita bersama-sama menghulurkan sokongan kita kepada mereka yang kehilangan orang yang disayangi. Sebagai salah seorang yang turut kehilangan saudara dalam kejadian itu, kami juga merasainya dalam keluarga kami,” katanya.
Najib berkata demikian menerusi catatan di laman Facebook miliknya hari ini.
Mengenang kembali, Najib berkata, beliau ketika itu telah berusaha sebaiknya bagi memastikan jenazah mangsa dapat dihantar pulang segera ke negara ini.
“Pada masa itu, saya telah berusaha sebaiknya menggunakan segala saluran yang ada dalam memastikan jenazah mangsa dihantar pulang segera dan mengadakan rundingan dalam mendapatkan kembali kotak hitam pesawat malang itu.
“Apapun, kita tak akan lupakan jasa baik dan usaha Kolonel Mohammad Sakri dan pasukannya yang bertemu dan berunding dengan puak pemisah di kawasan paling berbahaya pada ketika seluruh dunia memerlukannya. Mari kita panjatkan doa kita kepada semua yang terkorban, mereka tidak akan dilupakan, Al-Fatihah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










