KUALA LUMPUR 26 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) bimbang dengan nasib peneroka Felda yang didakwa tidak menerima banyak manfaat di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), golongan peneroka seolah-olah tidak diendahkan oleh kerajaan PH apabila Hari Peneroka tidak disambut malah bonus Hari Raya Aidilfitri yang diberikan kepada golongan tersebut juga adalah lebih rendah berbanding dahulu.
“Terdapat juga laporan mengenai kelewatan pembayaran kepada peneroka dan apakah pembayaran kepada peneroka terus menurun pada masa akan datang.
“Saya juga ingin tanya, PH berjanji dalam manifesto mereka untuk membatalkan hutang peneroka dalam tempoh 100 hari, apa akan jadi kepada janji tersebut,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Felda menerusi laman Facebook rasmi mengeluarkan notis kelewatan bayaran pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil yang sepatutnya dibayar pada 23 Julai hingga 25 Julai lalu atas perkara yang tidak dapat dielakkan. – UTUSAN ONLINE










