KUALA LUMPUR 30 Julai – Bakat baharu yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Naim Zamri, 21, mengakui tidak mampu mengekang air matanya daripada mengalir ketika menjalani penggambaran sebuah iklan komersial televisyen.
Julung kali diberi kepercayaan mendukung peranan utama dalam iklan terbabit, Naim pada mulanya rasa begitu gembira dan teruja, bahkan tidak sabar mahu berada di set untuk memulakan penggambaran.
“Apabila hari dinantikan sudah tiba, keterujaan semakin kuat dirasakan. Masakan tidak, kira-kira lebih setahun membintangi iklan komersial, inilah peluang paling besar pernah saya peroleh.
“Sebab itu saya mahu buktikan kredibiliti lakonan yang dimiliki di samping mengintai peluang terbaik membintangi drama atau filem tempatan.
“Pun begitu, apabila penggambaran memasuki babak penting yang memaksa saya bermain dengan emosi paling tepat mengikut kehendak pengarah, tiba-tiba saya jadi buntu,” ceritanya berkongsi pengalaman.
Menurut Naim, iklan tersebut mengkehendakinya melakonkan adegan dia sedang menikmati keenakan sejenis produk makanan dikeluarkan rangkaian restoran makanan segera KFC.
Selepas peluang demi peluang diberikan, Naim masih gagal memperoleh emosi paling sesuai untuk menjayakan babak yang dimaksudkan.
“Kemudian saya minta izin pengarah untuk berehat dan bertenang sebelum meneruskan lakonan babak lain.
“Sewaktu berehat, saya memaksa diri untuk memikirkan emosi terbaik yang boleh ditonjolkan sehingga tanpa sedar, pipi saya mula basah dengan aliran air mata.
“Itulah kali pertama saya rasakan betapa sukarnya tonjolkan emosi sesuai. Tambahan pula, jenama produk ini yang besar menambahkan lagi beban tekanan sedia ada,” katanya.
Namun, Naim bersyukur pengarah produksi iklan itu banyak membantunya untuk menyempurnakan tugasan biarpun adegan itu terpaksa dilakonkan berulang kali. – UTUSAN ONLINE










