Nahas maut: Hasrat lelaki tunai haji tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Nahas maut: Hasrat lelaki tunai haji tidak kesampaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 21 Julai – Hasrat warga emas mahu menunaikan haji bersama isteri pada 7 Ogos ini tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditungganginya di­langgar sebuah treler tanpa muatan di Simpang Tiga Jalan Berhampiran Balai Bomba Bandar Jengka, Maran dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Jamaludin Abu Daud, 64, dari Felda Melor Jengka 12 meni­ng­gal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami manakala pemandu treler tersebut, Mohd. Zahir Abd. Razak, 41, tidak me­ngalami kecederaan.

Difahamkan, ketika keja­dian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas me­ngeluarkan sejumlah wang di sebuah bank.

Ketua Polis Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku ketika treler tanpa muatan dipandu Mohd. Zahir dalam perjalanan dari Kuantan ke Jerantut.

“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebuah motosikal dari simpang kanan keluar mengejut. Pemandu treler terus membrek dan mengelak ke bahagian kiri jalan tetapi motosikal mangsa telah bergesel bahagian belakang treler itu menyebabkan penunggangnya tercampak ke bawah tayar lori ber­kenaan.

“Akibat daripada kejadian tersebut, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norzamri berkata, peman­du treler itu menyerah diri di Bahagian Siasatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran pada pukul 11.28 pagi hari ini.

“Sampel darah dan air ken­cing pemandu lori bersama mangsa diambil untuk ujian toksikologi Kimia manakala lori terbabit akan dihantar ke Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan mendapati ketika kejadian permukaan jalan ke­ring selain polis menemukan kesan brek dan gurisan di atas jalan,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN