DECINES-CHARPIEU, Perancis 25 Julai – “Nabil Fekir bakal menandatangani kontrak bersama Liverpool pada 4 Ogos”.
Itulah, status Twitter milik wartawan majalah bola sepak Perancis, French Football, Jean Sebastien yang membuatkan penyokong Reds teruja.
Biarpun kesahihan akaun tersebut belum dapat dipastikan, namun berita itu menggembirakan peminat Liverpool.
Liverpool hampir menandatangani pemain tengah berusia 24 tahun itu bulan lalu, sebelum dia membantu Perancis menjulang Piala Dunia.
Begitupun, Lyon dan Reds menemui jalan buntu ketika membincangkan soal harga sebelum rundingan ditamatkan pada 9 Jun.
Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas percaya, kegagalan rundingan itu menyebabkan Fekir sukar mendapatkan kelab yang lebih baik dan hampir pasti akan kekal bersama mereka.
“Berdasarkan situasi semasa, sebagai pemilik Piala Dunia dan keinginan Lyon untuk memburu pencapaian lebih baik pada musim mendatang, sukar buat Nabil mendapatkan kelab yang lebih baik,” kata Aulas.
Begitupun pengurus Lyon, Bruno Genesio tidak menolak Fekir mungkin meninggalkan pasukan, biarpun usaha awalnya berdepan kegagalan. – AFP










