AMPANG – Penggemar durian kini boleh tersenyum sakan apabila harga raja buah itu di kebanyakan lokasi di seluruh negara didapati 50 peratus lebih murah sejak dua minggu lalu.
Penurunan drastik harga buah tersebut difahamkan berlaku berikutan terdapat lambakan durian dari negeri Johor selepas ia mula mengeluarkan hasil pada bulan Jun lalu.
Menurut seorang peniaga durian, Faizul Rahman, 26, hampir kesemua jenis buah durian termasuk Musang King, IOI, D24 dan Udang Merah kini dijual pada harga yang lebih murah jika dibandingkan sebelum bulan Ramadan lalu.
“Sebelum ini, kami hanya mendapatkan bekalan buah durian dari negeri Pahang dan harganya perlu dijual mengikut kadar pasaran semasa. Bagaimanapun, bila durian Johor mula gugur, harganya menjadi lebih murah.











