Murid Orang Asli ungguli kemahiran bahasa Inggeris - Utusan Malaysia

Murid Orang Asli ungguli kemahiran bahasa Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS 24 Julai – Belajar di sekolah rendah kawasan pedalaman bukan halangan untuk murid Orang Asli menguasai bahasa Inggeris apabila mereka berjaya dalam beberapa kategori pada pertan­dingan Highly Immersive Programme (HIP) anjuran Pejabat Pendidikan Lipis (PPL) di Kuala Medang, dekat sini baru-baru ini.

Penyelaras pertandingan HIP Zon Jelai, Mohd. Shawaluddin Abu berkata, pertandingan berke­naan bertujuan menguji penge­tahuan dan kemahiran murid mengenai kemampuan menggunakan bahasa kedua itu berasaskan pembelajaran dalam kelas.

“HIP ini merupakan antara kegiatan koakademik sebagai platform untuk membudayakan pengucapan bahasa Inggeris di sekolah membabitkan pengliba­tan murid luar bandar termasuk Orang Asli.

“Penyertaan sekolah zon ini begitu menggalakkan dan menzahirkan komitmen guru serta murid berkenaan untuk menguasai bahasa kedua ini khususnya manfaat menghadapi peperiksaan serta melanjutkan pelajaran ke pe­ringkat tinggi,” katanya di Kuala Medang, dekat sini baru-baru ini.

Pada program itu, seramai 130 orang murid yang mewakili 13 buah sekolah rendah Zon Jelai, Lipis menyertai pertandingan melibatkan kategori pengucapan awam, mendeklamasikan sajak, bercerita dan nyanyian beraksi.

Hasil pertandingan itu, murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Koyan menang per­tandingan bercerita dalam bahasa Inggeris, tempat kedua dimenangi murid dari SK Betau dan SK Senderut (ketiga).

Majlis penyampaian hadiah dan sijil penyertaan disempurnakan, Penolong Pegawai Pendidikan Lipis (Unit Bahasa), Hazimin Noordin.

Guru bahasa Inggeris SK Sen­derut, Rumaisa Mohd. Asyari berkata, pertandingan itu dapat mengasah bakat dan kemahiran murid supaya mampu menguasai bahasa Inggeris untuk tujuan komunikasi serta pencapaian akademik selari hasrat aktiviti HIP di sekolah.

“Saya membuat persediaan latihan selama sebulan untuk melatih murid Orang Asli yang terbabit dengan pertandingan ini dan berpuas hati walaupun menduduki tempat ketiga kerana pertama kali menyertai program ini.

“Pertandingan ini antara pendekatan terbaik untuk menyerap amalan berbahasa Inggeris bermula di peringkat sekolah rendah menerusi aktiviti koakademik dan kokurikulum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN