Mula berkarya dengan kadbod, kayu terbuang - Utusan Malaysia

Mula berkarya dengan kadbod, kayu terbuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUSUK tubuh seorang gadis duduk bersimpuh di anjung pondok di pinggiran Pantai Teluk Muroh di Lumut, Perak, menarik perhatian Hasshim Abu Hanifah.

Angin yang bertiup lembut sesekali menyapa wajah gadis tersebut, membuatkan selendang di kepalanya melorot jatuh ke bahu.

Desiran ombak dan langit jingga menandakan waktu senja, pemandangan tersebut dirasakannya cukup indah. Meskipun baru berusia sembilan tahun pada masa itu, hatinya bagaikan terkunci dengan perasaan cinta yang sangat mendalam terhadap keindahan alam ciptaan Tuhan.

Lantaran itu, dilakarkan pemandangan tersebut di atas kadbod terbiar untuk dihantar kepada guru kelasnya, Abd. Mutalib Hussin.

Guru di Sekolah Kebangsaan Teluk Muroh itu baru sahaja mengumumkan penganjuran pertandingan melukis di sekolah tersebut pada setiap hari Jumaat.

Ganjaran wang

Pemenangnya diberi ganjaran berupa wang saku sebanyak 20 sen selain hasil karya pemenang akan digantung di dalam kelas selama seminggu.

Ternyata kebolehannya mengekspresikan visual pemandangan itu mengagumkan guru tersebut.

“Kata cikgu (Abd. Mutalib), lukisan itu penuh emosi dan beliau dapat memahami jalan cerita yang saya ingin sampaikan melalui hasil tangan tersebut. Secara jujurnya, sewaktu lukisan itu dihasilkan, saya membayangkan kehidupan diri sendiri yang agak sukar pada ketika itu.

“Kemudian, saya masukkan pula pemandangan indah wanita berlatarbelakangkan kampung nelayan tersebut ke dalamnya. Tidak sangka, Cikgu Abd. Mutalib dapat menelah perkara itu, sekali gus diangkat sebagai pemenang pada minggu tersebut dan hampir setiap minggu seterusnya,” ceritanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada pameran seni Kaleidoscope of Light di Galeri Oasis, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Hasshim adalah antara lapan artis dalam dan luar negara yang sedang mempamerkan hasil artistik abstrak mereka di Kaleidoscope of Light.

Menariknya, Hasshim, 58, bukanlah seorang yang profesional dalam seni lukisan. Beliau tidak pernah mengambil kursus formal seperti kebanyakan pelukis yang lain.

Nama beliau juga lebih masyhur dalam kalangan pengamal media berikutan kariernya sebagai seorang wartawan penyiaran dan kini selaku Pengurus 1News di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Justeru, apabila beliau berjaya menempatkan diri dalam kalangan nama besar penggiat lukisan seperti Arp Rap dari England, Clare Louise Johnson (Amerika Syarikat) dan Lena Lim (Malaysia) pada pameran tersebut, nama Hasshim secara tiba-tiba meledak dalam industri seni.

Dibesarkan dalam persekitaran kampung nelayan, Hasshim sangat berterima kasih kepada Cikgu Abd. Mutalib, yang bertindak mencungkil bakatnya dalam bidang seni lukisan.

Tidak pernah diberi wang saku ketika ke sekolah, Hasshim hanya memiliki sebatang pensel dalam sesuatu masa. Beliau juga tidak mempunyai kelengkapan termasuklah kertas lukisan.

Tempahan

Wang yang ditawarkan oleh gurunya itu bagaikan galakan kepada anak kedua daripada lima adik-beradik tersebut untuk melukis, sesuatu yang tidak pernah diambil serius sebelum ini.

Misinya cuma mahu menang dan menggunakan duit tersebut untuk membeli ais kepal berharga 15 sen yang sudah lama diidamkan. Bakinya pula dikumpulkan untuk membeli kelengkapan melukis seperti warna air, pen dan pensel.

Meningkat remaja di Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah, di Ipoh, Perak, Hasshim kemudian mula mengasah bakat dalam pelbagai lagi teknik lukisan termasuk karikatur dan seni abstrak.

Pernah juga beliau mengambil tempahan membuat kad raya kreatif pelbagai karakter kartun untuk rakan-rakan dan para guru.

Pada usia 14 tahun, Hasshim buat pertama kalinya berjaya memperoleh sehingga RM1,000 hasil jualan tiga lukisan pemandangan di Pesta Laut Lumut 1974.

Paling menarik, harga tersebut diletakkan oleh pembeli itu sendiri.

“Saya memang tidak pernah meletakkan harga. Maklumlah, lukisan saya hanya dilukis pada kadbod dan kayu terbuang. Cat dan warna yang digunakan juga berkualiti rendah.

“Bukan itu sahaja, saya juga tidak pernah menurunkan tanda tangan di kanvas seperti pelukis yang lain kerana rasa rendah diri yang cukup menebal.

Namun, pada pesta tersebut, saya disuruh menandatangani karya sendiri dan ia memang satu kenangan manis dalam hidup,” ceritanya.

Luahan perasaan

Sejak itu, Hasshim giat melukis. Bukan untuk mencari pendapatan, sebaliknya beliau bagaikan menemui jalan bagi meluahkan perasaan dan tekanan yang terbuku di dada termasuk soal pelajaran serta kesusahan hidup melalui aktiviti melukis.

“Setiap kali otak rasa terbeban, saya akan ambil kanvas dan mula melukis. Alhamdulillah, menggerakkan jari membentuk pelbagai lakaran membuatkan saya tenang dan banyak membantu zaman remaja yang lebih bermanfaat,” katanya yang lebih menggemari lukisan berbentuk figuratif berbanding teknik yang lain.

Kaedah mengelak tekanan yang sama turut digunakan ketika beliau menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor dalam bidang kewartawanan serta sepanjang kariernya dalam bidang penyiaran di RTM.

Sebelum menyandang jawatan Pengurus 1News di RTM, Hasshim pernah bergandingan bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sebagai moderator program bual bicara Gemilang Malaysia sekitar tahun 2005.

Beliau juga banyak membuat liputan ke luar negara membabitkan pembesar negara termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika bergelar wartawan sekitar tahun 1990-an.

Antaranya membuat liputan kunjungan hormat Tun Mahathir ke Itali, Albania dan Republik Czech. Di sebalik kesibukannya bekerja, minatnya dalam dunia seni tetap sama. Ketika berada di luar negara umpamanya, beliau secara peribadi akan merakam gambar pemandangan, orang dan apa jua yang dirasakan menarik.

Ia kemudian dijadikan sebagai rujukan untuk berkarya ketika mempunyai masa lapang. Antaranya lukisan potret Tun Mahathir di Venice, Itali, potret lelaki di Teheran serta pemandangan kuda berlari di Albania.

“Kebanyakan lukisan hanya untuk koleksi peribadi dan tidak dijual. Namun, ada juga yang saya jadikan sebagai hadiah.

“Sebagai contoh, potret Tun Mahathir sedang memandang ke arah sungai Venice, saya hadiahkan kepada Tun, dan kini dijadikan hiasan di Yayasan Perdana,” jelasnya tersenyum.

Menyorot kisah penglibatan pertamanya dalam pameran seni, Kaleidoscope of Light yang sedang berlangsung, Hasshim menyifatkan ia sebagai dorongan daripada dua orang pelukis terkenal dunia iaitu Deng Nai Rong dan Sam Karuna.

Berkesempatan bertemu Den Nai Rong pada pameran karya pelukis dari China itu pada tahun 2007, Hasshim tidak melepaskan peluang untuk berbual panjang bersama pakar lukisan figuratif tersebut.

Pertemuan yang berakhir di kediaman Hasshim di Shah Alam, Selangor membuatkan Nai Rong mengagumi lukisan beliau. Paling digemari ialah gambaran wajah lelaki Teheran yang sedang memandang tepat ke depan. Kata Nai Rong, lukisan tersebut ‘hidup’.

“Masih saya ingat, Nai Rong bertanya: Mengapa kamu tidak menjual lukisan ini? Kamu bodoh jika kamu tidak terus berkarya secara aktif.

“Namun, saya masih tidak mengambil sebarang tindakan sehinggalah pada awal tahun ini, saya bertemu pula dengan Sam Karuna ketika bermain golf di Shah Alam,” kongsi Hasshim ramah.

Kunjungan artis kontemporari yang popular dengan karya bermotifkan batik itu ke rumahnya itu juga berakhir dengan galakan agar Hasshim tidak mempersiakan kebolehannya.

Lantas, diperkenalkan Hasshim kepada artis abstrak antarabangsa, Arp Raph yang juga kurator kepada pameran tersebut.

Dari situlah, bapa kepada tiga orang anak itu akhirnya terlibat dengan pameran yang menyajikan hampir 20 lukisan abstrak untuk peminat artistik.

Menurut Hasshim, meskipun bermula lewat dalam mengetengahkan karya, beliau yakin inilah permulaan kepada jalan yang akan diambil selepas bersara nanti.

“Saya mahu serius dalam berkarya. Selepas sahaja bersara, saya akan menjelajah ke seberapa banyak tempat yang boleh untuk menghasilkan lukisan terbaik,” azamnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN