KANGAR 27 Julai – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyindir dalam kalangan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan yang gagal untuk hadir tanpa alasan munasabah ke sidang Dewan Rakyat seperti yang dijadualkan.
![]() |
|
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
|
Kata Mohd. Asri, segala perangai lawan yang dihentam dahulu, hari ini seolah-olah dijadikan ikutan.
“Apabila menang, perasaan sudah senang. Apabila dah rasa senang, dewan (Dewan Rakyat) pun tidak datang.
“Maka, segala pekikan sebelum ini, sudah tidak kedengaran. Segala sembang semalam, hanya tinggal kenangan. Segala perangai lawan dulu yang dihentam, hari ini dijadikan ikutan,” katanya dalam status Facebooknya di sini malam tadi.
Sebelum ini, tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim mencadangkan pemotongan elaun bulanan ahli-ahli Parlimen yang tidak hadir sidang Dewan Rakyat.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu merupakan cara terbaik untuk mengatasi masalah Dewan Rakyat yang tidak cukup korum sewaktu bersidang.
Terdahalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi kehadiran menteri dan timbalan menteri di Parlimen.
Walau bagaimanapun, beliau tidak bercadang menetapkan indeks prestasi utama (KPI) untuk mengukur prestasi menteri dan timbalan menteri menjalankan tugas di Parlimen.
Tahun lepas isu yang sama pernah dibangkitkan apabila sesi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Pindaan) 2017 pada sidang Dewan Rakyat, 24 Oktober 2017 terpaksa ditangguhkan seketika kerana ketiadaan menteri dan timbalan menteri di dalam dewan pada ketika itu.-UTUSAN ONLINE











