PAGOH 15 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yakin daerah Muar berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pertanian negara.
Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, Muar merupakan kawasan yang luas dan memiliki tanah-tanah berpotensi untuk dimajukan bagi tujuan itu.
“Saya melihat beberapa sektor di Muar yang boleh menjadikannya sebagai salah sebuah hab pertanian seperti kelapa matag, durian dan tanaman herba.
“Kita akan lihat secara lebih spesifik sektor yang terdapat di daerah itu agar satu pelan tindakan khas dapat diwujudkan bagi merealisasikan usaha itu,” katanya selepas melawat Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Mustaffa Kamal Shamsudin; Pengarah Perikanan negeri, Zamani Omar dan pemilik Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha, Nasuha Kasian.
Terdahulu, Salahuddin diberi taklimat berkaitan isu, potensi dan hala tuju sektor pertanian di Muar oleh Jabatan Pertanian; Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. – UTUSAN ONLINE










