MTRK desak Kerajaan Pusat segera bayar royalti - Utusan Malaysia

MTRK desak Kerajaan Pusat segera bayar royalti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 30 Julai – Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendesak Kerajaan Pakatan Harapan supaya membayar segera royalti minyak lima peratus kepada Kerajaan Pas Kelantan.

Presiden MTRK, Azmi Ali berkata, tiada alasan bagi Kerajaan Pusat untuk melengahkan pembayaran tunai itu kerana perkara itu termaktub dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Petronas.

Dalam masa sama, katanya, keadaan ekonomi yang malap menyebabkan Kerajaan Kelantan perlu dibantu supaya nasib rakyat terbela.

“Saya percaya perbelanjaan dan pendapatan kerajaan negeri kini sudah tidak seimbang kerana sumber yang terhad.

“Tolonglah percepatkan pembayaran royalti sebagaimana yang telah termaktub dalam perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Negeri.

“Tidak ada alasan sebab Kelantan sekarang berada dalam keadaan kritikal, mohon Kerajaan Pusat melunaskan janji,apabila kritikal dari segi ekonomi sudah tentu sudut sosial bermasalah kerana ia perkara yang berkait dan sebati,”katanya dalam sidang akhbar di pejabat, di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan PH tidak boleh ada unsur diskriminasi dan perlu mengenepikan perkiraan politik dalam berurusan dengan Kerajaan Pas Kelantan sebagaimana semangat kesamarataan yang ingin ditonjolkan dalam Malaysia Baharu.

“Keadilan perlu diterjemahkan dengan cepat kerana rakyat sekarang terhimpit, perlu diingat majoriti penduduk adalah Melayu dan Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN