KUALA LUMPUR – MR. D.I.Y. Trading Sdn. Bhd. (MR. D.I.Y.), peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, megunjurkan perolehan bernilai RM1 bilion sehingga akhir tahun ini berbanding RM600 juta yang direkodkan pada tahun 2017.
Ketua Pemasarannya, Andy Chin berkata, sasaran itu bakal dipacu oleh pelbagai inisiatif pertumbuhan perniagaan yang telah digariskan termasuk perluasan rangkaian gedungnya di seluruh negara dan peringkat serantau, selain pengenalan platform beli-belah online terbaharunya.
“Pada tahun ini, kami menjangkakan untuk mengendalikan sehingga 500 cawangan MR. D.I.Y. di seluruh negara berbanding 415 pada masa ini.
“Dengan didorong oleh pengenalan platform e-Dagang ia dapat membantu mengukuhkan kedudukan jenama ini sebagai sebuah peruncit perkakas rumah terbesar rumah di Malaysia.
“Ini sekali gus, ia dapat memacu pertumbuhan perniagaan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran platform beli-belah online, jenama itu di sini semalam.
Sementara itu, Andy menjelaskan, sebagai sebuah jenama yang kini berkembang pesat di rantau Asia Pasifik, MR. D.I.Y. juga bakal menembusi dua pasaran baharu iaitu Singapura dan Filipina masing-masing pada suku ketiga dan keempat tahun ini.
“Kami akan membuka sebuah cawangan di Jurong, Singapura pada bulan depan serta 10 gedung MR. D.I.Y. di Filipina sehingga akhir tahun ini,” ujarnya.
Pada masa ini, selain beroperasi di Malaysia, MR. D.I.Y. turut mempunyai kehadiran di Thailand menerusi 100 cawangan, empat cawangan di Brunei dan 31 di Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 550 rangkaian gedung beli-belah tersebut.
Dalam pada itu, mengenai platform beli-belah terbaharunya, mrdiy.com.my, Andy menjelaskan, ia mengetengahkan empat ciri utama iaitu penghantaran percuma, MR. D.I.Y. Express, Collect@ MR. D.I.Y. dan MR. D.I.Y. Guarantee.
“Pelanggan di Semenanjung Malaysia boleh menikmati penghantaran percuma ke rumah masing-masing tanpa perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk pesanan di bawah 5 kilogram.
“Selain itu, dengan sejumlah bayaran kecil, pelanggan di Lembah Klang juga boleh menikmati perkhidmatan MR. D.I.Y. Express, di mana pembelian mereka akan dihantar dalam masa 24 jam,” katanya.










