KUALA LUMPUR 24 Julai. – Aduan orang ramai mengenai masalah penutupan tandas di taman rekreasi Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi dan tandas awam berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tun Razak mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa terbabit.
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ketika dihubungi Utusan Malaysia mengakui kewujudan tandas terbiar di Tasik Cempaka dan akan melakukan baik pulih dengan segera bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di situ.
Pegawai Perhubungan Awam, Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya akan membuat pemantauan di tandas yang terletak bersebelah dengan taman permainan kanak-kanak itu sebelum kerja penyelenggaran dan baik pulih dilaksanakan.
“Pihak kami sentiasa mengalu-alukan aduan daripada orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemudahan awam yang rosak atau tidak diselenggara di kawasan pentadbiran MPKj.
“Tidak dinafikan berlaku kerosakan pada kemudahan-kemudahan awam yang disediakan kerana sudah lama beroperasi dan digunakan oleh semua pihak yang mempunyai pelbagai latar belakang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Berhubung penutupan tandas awam milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang terletak berhampiran dengan Stesen LRT Bandar Tun Razak, jurucakap syarikat milik kerajaan itu memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Prasarana mengambil langkah menutup tandas berkenaan kerana banyak kejadian vandalisme berlaku dan beberapa kes kecurian kepala paip yang menyebabkan kerugian.
“Selain itu, tandas berkenaan juga sering menjadi tempat orang ramai melakukan maksiat,” katanya.










