SHAH ALAM – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni tidak gusar dengan saranan kepimpinan Pusat Pas supaya ahli parti itu mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kerana yakin perkara itu tidak akan berlaku.
Mohd. Zawawi berkata, ia berdasarkan pertemuan langsungnya dengan pemimpin dan ahli Pas DUN berkenaan yang secara peribadi menzahirkan sokongan dan menyatakan bahawa saya dalam pemimpin yang mereka akan undi pada 4 Ogos ini.
“Bagi saya dalam sistem demokrasi hari ini, semua orang boleh bersuara dan memberikan pendapat.
“Tetapi, pengalaman saya apabila bertemu dengan pimpinan Pas di peringkat akar umbi, kebanyakan mereka juga adalah rakan-rakan saya ketika belajar, kerja dakwah dan kemanusiaan dan mereka menyatakan sokongan di belakang dan bukannya terbuka.
“Secara peribadi mereka menyatakan sokongan dan ini bukan daripada Pas sahaja tetapi dalam kalangan UMNO (menyatakan sokongan),”katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Media PKR DUN Sungai Kandis di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berhubung saranan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta ahli parti itu mengundi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pada PRK DUN Sungai Kandis, 4 Ogos ini.
PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd. Zawawi menentang Lokman Noor dan calon Bebas, K. Murthy. – K! ONLINE










