KANGAR 17 Julai – Misteri kehilangan seorang lelaki yang mengalami penyakit sawan sejak empat hari lalu terjawab, apabila mayatnya ditemukan
di dalam parit di hadapan rumah sebuah rumah di Kampung Hutan Ibus, Jalan Kangar-Kuala Perlis di sini hari ini.
Mayat Mohd. Hordri Halim, 37, ditemukan oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 10.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi selepas mendapat laporan mengenai penemuan mayat di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil temu bual bersama ibu kandung mangsa yang berada di tempat kejadian bagi proses pengecaman mayat mendapati mangsa keluar dari rumah sejak empat hari lalu.
“Mangsa tidak pulang ke rumah selepas itu sehingga diberitahu mayatnya ditemukan oleh orang kampung di dalam parit berkenaan.
“Mangsa tidak mempunyai apa-apa pekerjaan dan juga mempunyai sakit sawan selain terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Sebelum ini, mangsa juga pernah keluar rumah dan tidak balik selama beberapa hari,” katanya di sini hari ini.
Tambah Wari, mayat mangsa kemudian dihantar Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, untuk proses bedah siasat.
“Kita dapati tidak ada unsur jenayah terhadap kematian mangsa. Kita klasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.- UTUSAN ONLINE










