SKUAD bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan bimbingan Datuk Ong Kim Swee dijangka berdepan misi sukar selepas diundi dalam Kumpulan E bersama Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kyrgyzstan, Bahrain dan juara bertahan Sukan Asia, Korea Selatan.
Pengurus pasukan B-23 Malaysia, Datuk Yusoff Mahadi (gambar kecil) bagaimanapun yakin anak-anak buah Kim Swee tidak akan mengibarkan bendera putih memandangkan skuad remaja negara itu sudah bersedia bersaing dengan pasukan-pasukan dalam ‘kumpulan maut’ tersebut.
Justeru, Yusoff mahu barisan pemain muda negara mengambil inspirasi kejayaan ketika mengharungi kempen kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 apabila layak ke peringkat suku akhir pada penampilan pertama di China, Januari lalu.
“Misi akan menjadi lebih sukar kerana kita sedar skuad UAE merupakan pasukan yang boleh mencabar kejuaraan acara bola sepak Sukan Asia di Indonesia nanti.
“Undian sudah dibuat dan kita harus lakukan yang terbaik. Saya berharap penyertaan UAE ini tidak akan menyebabkan para pemain cepat putus semangat, sebaliknya menjadikan ia cabaran.
“Apa pun, pasukan muda harus jadikan kejayaan AFC B-23 di China sebagai motivasi kerana ketika itu tiada siapa meletakkan harapan, namun mereka berjaya layak ke suku akhir kerana semangat berpasukan.
“Jadi, saya percaya tiada apa yang mustahil jika kita berjaya mengekalkan semangat berpasukan, mungkin kita akan lakukan sesuatu yang menakjubkan pada Sukan Asia 2018 nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Semalam, AFC mengadakan majlis undian semula bagi dua pasukan iaitu UAE dan Palestin selepas mereka tercicir dalam undian acara bola sepak Sukan Asia 2018 awal bulan ini.
Undian itu menyaksikan UAE berada dalam Kumpulan E, manakala Palestin bersama pasukan tuan rumah kejohanan, Indonesia, Hong Kong, Laos dan Taiwan dalam Kumpulan A.










