Misi serampang 2 mata Selangor - Utusan Malaysia

Misi serampang 2 mata Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MISI Selangor kini lebih terarah untuk memperbaiki kedudukan pada carta liga selain persediaan menghadapi Piala Malaysia apabila dijadualkan berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Aksi tersebut yang sepatutnya berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang pada Mei lalu terpaksa ditangguhkan berikutan masalah lampu limpah.

Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir merasakan pertemuan menentang PKNP FC adalah lebih kepada persiapan pasukan untuk mencari rentak bagi mengharungi Piala Malaysia yang akan berlangsung bulan depan.

“Pertama sekali kami bersyukur hasil kerja keras semua pemain, Selangor masih kekal bermain pada Liga Super musim depan meskipun kami menunjukkan prestasi yang kurang baik kebelakangan ini.

“Pertemuan dengan PKNP FC kali ini juga adalah bagi memperbaiki kedudukan pada carta liga selain memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk beraksi di samping mendapatkan rentak untuk Piala Malaysia.

“Baki dua perlawanan ini boleh dilihat sebagai misi serampang dua mata pasukan untuk persediaan Piala Malaysia dan kita akan cuba cipta kemenangan supaya ia menjadi motivasi kepada pemain untuk beraksi lebih baik selepas ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, pengendali termuda Liga Super tersebut sedia melepaskan Muhammad Syahmi Safari jika dia dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) selepas pemain muda tersebut berada dalam senarai persediaan Datuk Ong Kim Swee untuk ke Sukan Asia 2018 di Indonesia.

“Mengenai Syahmi yang tersenarai dalam skuad B-23, kami dalam barisan kejurulatihan bersedia untuk membenarkannya mengikuti Kim Swee jika khidmatnya diperlukan.

“Bagi saya, skuad kebangsaan tetap menjadi keutamaan kerana misi mereka adalah lebih besar untuk bersaing pada peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN