SEPATUTNYA pada ketika ini, kakinya sedang memijak bumi Amerika Syarikat (AS). Hatinya pula sedang berdetak-detak penuh debaran menunggu giliran untuk membuat persembahan di pentas Juara Dunia Seni Persembahan 2018 (WCOPA 2018) di Los Angeles, California.
Pentas itulah yang diidam-idamkan untuk mengukuhkan namanya selepas menyertai pertandingan yang sama dalam kategori junior pada enam tahun yang lalu. Wani Kayrie, 18, juga yakin mampu mencatat lebih banyak kemenangan peribadi pada penyertaan kali ini berbanding sebelumnya.
Pun begitu, apa yang diimpikan penyanyi Jangan Jangan ini hanya tinggal mimpi, ia takkan mungkin terjadi. Secara jelasnya, pemilik nama Syazwani Abdullah ini tidak akan bertanding di pentas siri WCOPA pada kali ini.
“Memang benar cerita itu, saya tak jadi ke Hollywood dan tidak dapat menyertai pertandingan itu. Apa yang dirancangkan selama ini semuanya punah, saya sudah tak ada apa-apa lagi yang perlu dikenangkan,” bicara Wani berhubung keputusannya untuk menarik diri dalam pertandingan tersebut.
Punca utamanya adalah kerana dia berdepan dengan masalah kewangan. Kekangan besar itu menjadi penghalang utama kerana pemergiannya ke negara yang dikenali sebagai Uncle Sam itu membabitkan belanja yang agak besar.
Wani memerlukan sekurang-kurangnya wang belanja sebanyak RM20,000 untuk menanggung keseluruhan termasuklah kos pembelian tiket penerbangan dari Malaysia, penginapan dan keperluan lain bagi melengkapkan misinya ke Hollywood itu.
Biarpun pihak penganjur sudah pun menaja sebanyak RM6,000 dalam bentuk wang kemenangan pada peringkat final WCOPA di ibu kota pada Mac lalu, namun jumlah itu masih tetap gagal untuk menampung kos ke sana kerana perlu mencari lagi RM16,000.
Ditambah lagi dengan kegagalan mendapatkan pihak penaja pada saat-saat akhir juga secara tidak langsung membantutkan misi penyanyi lagu Kumbang dan Bunga ini untuk membuktikan perkembangan bakat nyanyiannya itu di pentas seni dunia tersebut.
“Perasaannya sangat hampa. Dua bulan lalu, sewaktu timbul masalah kewangan ini, hati saya ketika itu masih kuat dan yakin boleh ke sana. Tapi selepas ditimbang tara sekian lama, saya akur, memang tak ada rezeki nak ke Hollywood.
“Takkanlah saya keluarkan seluruh wang simpanan semata-mata untuk tujuan itu? Adakah berbaloi pengorbanan yang dibuat dengan apa yang bakal saya peroleh selepas pertandingan itu. Reda sajalah,” kata bekas murid cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor ini.
WCOPA 2018 merupakan langkah kedua Wani mewakili Malaysia ke Hollywood. Sebelum ini dia yang turut terkenal dengan lagu Aku Suka Kamu ini pernah mewakili negara pada 2012 dan berjaya memenangi lima pingat.
Wani membawa pulang satu pingat emas dalam kategori kontemporari dengan menyanyikan lagu Rolling In The Deep, perak (tiga untuk genre rock, balada dan pop) dan gangsa (genre lagu rakyat – Balqis) selain memenangi Anugerah Industri Hollywood yang diberikan kepada peserta yang cemerlang.
Pertandingan nyanyian berkenaan kini sudah pun memasuki hari terakhir selepas berlangsung pada 6 Julai lalu. Wani antara 15 orang peserta yang dipilih mewakili Malaysia dan bersaing bersama 63 peserta dari negara-negara terpilih.
“Malangnya, saya tidak dapat meneruskan misi ke peringkat antarabangsa gara-gara masalah yang disebutkan di atas. Apa nak buat, pasrah sahajalah,” kata Wani, sarat dengan rasa kesal.







