MH370: Waris luah rasa tidak puas hati - Utusan Malaysia

MH370: Waris luah rasa tidak puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Julai – Ahli-ahli keluarga mangsa Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 meluahkan rasa tidak puas hati terhadap taklimat yang dijalankan oleh Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia berhubung laporan penyiasatan keselamatan pesawat itu yang dikeluarkan hari ini.

Mereka mempersoalkan kewajaran taklimat dilakukan terhadap waris mangsa MH370 memandangkan skop pasukan itu hanya merangkumi aspek keselamatan.

Salah seorang waris, Nurazlina Ayub berkata, pihak keluarga tidak memperoleh jawaoan yang dikehendaki mereka terutama dalam merungkai pelbagai persoalan mengenai kehilangan pesawat Boeing 777-200ER berkenaan.

“Kami tidak dapat berjumpa dengan pasukan pencarian tetapi hanya pasukan berkaitan keselamatan pesawat. Kita sememangnya mengharapkan pasukan relevan iaitu pasukan respons untuk memberi kita pemahaman dan perkembangan.

“Kita juga berharap siasatan ini dapat diteruskan serta mahu pihak baharu terlibat dan membawa data-data baharu. Tetapi hari ini agak mengecewakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis taklimat bersama pasukan itu, di sini hari ini.

Nurazlina merupakan isteri kepada pramugara pesawat berkenaan, Junaidi Mohd. Kassim.

Sebelum ini, penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity pada hujung Mei lalu telah mengesahkan bahawa pencarian semasa MH370 berakhir tanpa sebarang penemuan.

Sementara itu, seorang lagi waris, Intan Maizurah Othaman berkata, dia menyangka laporan yang dikeluarkan hari ini merupakan laporan akhir.

“Tapi bukan. Mereka bukan pasukan yang bertanggungjawab dalam pencarian. Pasukan ini jaga aspek keselamatan sahaja,” katanya yang merupakan isteri kepada pramugara, Hazrain Hasnan.

Pasukan ICAO Annex 13 Malaysia hari ini telah mengadakan pertemuan serta taklimat dengan waris-waris mangsa pesawat MH370 di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN