MH370: Ini bukan laporan terakhir - Utusan Malaysia

MH370: Ini bukan laporan terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Julai – Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia tidak dapat mengenapasti punca sebenar kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Dapatan itu dirumuskan dalam laporan siasatan keselamatan pasukan tersebut yang dikeluarkan hari ini.

Jelas Ketua Penyiasatnya, Datuk Kok Soo Chon, ia berdasarkan tujuh bidang analisa utama iaitu lencongan pesawat dari laluan asal penerbangan, profil kru penerbangan, layak terbang (airworthiness), penyelenggaraan dan sistem pesawat, komunikasi satelit, malumat bangkai dan impak pesawat, muatan kargo serta perkhidmatan trafik udara.

Tanpa pemeriksaan terhadap bangkai pesawat serta maklumat rakaman data penerbangan, katanya, penyiasatan itu tidak dapat mengenal pasti sebarang kegagalan sistem atau pesawat yang munasabah yang boleh membawa kepada penyahaktifan sistem, lencongan dari laluan asal penerbangan serta laluan seterusnya yang diambil oleh pesawat terbabit.

Katanya, kemungkinan campur tangan oleh sebuah pihak ketiga juga tidak boleh ditolak.

“Ini bukan laporan akhir berhubung insiden MH370 sebaliknya hanya menyentuh aspek keselamatannya. Kita tidak dapat mengenal pasti punca sebenar nahas ini selagi belum menjumpai bangkai dan mangsanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Jelas Soo Chon, bukti menunjukkan bahawa pesawat itu beralih dari laluan asal penerbangan dengan isyarat transponder pesawat terhenti berikutan sebab-sebab yang tidak diketahui dan ia tidak lagi kelihatan kelihatan pada paparan kawalan trafik udara.

Seterusnya, kata beliau, ujian simulator penerbangan telah menunjukkan bahawa tindakan berpatah balik pula berkemungkinan dilakukan ketika pesawat itu berada di bawah kawalan manual bukan autopilot.

Beliau turut menolak kemungkinan pengambil alihan pesawat itu menggunakan teknologi kawalan jauh seperti didakwa oleh segelintir pihak.

Katanya, syarikat penerbangan Boeing telah mengesahkan tidak melaksanakan paten teknologi itu atau sebarang sistem lain untuk mengawal pesawat komersial dari jarak jauh atau sedar mana-mana pesawat Boeing menggunakan teknologi berkenaan.

“Model 9M-MRO telah dihantar pada Mei 2002 sebelum paten berkenaan dikeluarkan pada 2006,” katanya.

Kata beliau, terdapat kira-kira 60 hingga 70 dakwaan serta gosip berhubung nahas itu diteliti oleh pihaknya termasuk dari media sosial yang mana, hanya tujuh daripadanya telah ditumpukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN