LONDON 17 Julai – Pemimpin-pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) mendesak Rusia supaya ‘mengambil tanggungjawab atas peranannya’ dalam insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine empat tahun lalu.
Para pemimpin G7 mahu Rusia bekerjasama untuk mendedahkan kebenaran dan keadilan insiden berkenaan, lapor The Guardian,
Kenyataan para pemimpin G7 itu dibuat menjelang sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin.
Tambah kenyataan itu lagi, siasatan yang dijalankan selama ini mencetuskan penemuan ‘menarik, penting dan mengganggu’ berhubung penglibatan Rusia.
“Kami menyatakan sokongan terhadap Australia dan Belanda untuk mendesak Rusia bertanggungjawab dan bekerjasama dalam proses siasatan bagi mendedahkan kebenaran dan memastikan keadilan diterima mangsa MH17 dan keluarga mereka,” kata kenyataan terbabit.
Pada Mei lalu, Pasukan Penyiasat Bersama, terdiri daripada pihak berkuasa dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine berkata, peluru berpandu BUK-TELAR yang menembak jatuh pesawat itu adalah milik Briged antipesawat ke-53 yang berpangkalan di Kursk, Rusia.
“Briged ke-53 itu sebahagian daripada tentera bersenjata Rusia,” kata penyiasat Belanda, Wilbert Paulissen kepada wartawan sewaktu sidang media di Belanda pada Mei lalu.
Pesawat terbabit membawa 298 penumpang, kebanyakan warga Belanda ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah yang dikuasai pemisah pro-Rusia.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull mengakui tidak percaya dengan kenyataan dikeluarkan Putin sebelum ini berhubung penglibatan Kremlin dalam insiden MH17.
“Putin menyatakan anda tidak boleh mempercayai sesiapa. Itu adalah nasihat beliau dan ditujukan kepada dirinya sendiri.
“Saya sememangnya tidak mempercayai Putin ketika beliau menyatakan tidak bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh MH17,” ujar Turnbull. – Agensi










