LONDON 24 Julai – Dietmar Hamann menyelar Persekutuan Bola Sepak Jerman (DBF) yang dianggap lemah dan tidak melindungi Mesut Ozil daripada menjadi mangsa kritikan.
Bekas bintang tengah Jerman, Bayern Munich, Liverpool dan Manchester City itu juga menganggap, pengunduran Ozil daripada skuad kebangsaan meninggalkan ‘rasa yang tidak menyenangkan di dalam mulut’.
Ozil, 30, semalam mengumumkan tidak akan lagi menyarung jersi Jerman susulan kritikan berunsur perkauman yang diterima sejurus selepas negara itu tersingkir awal pada Piala Dunia di Rusia.
Bintang tengah Arsenal itu, yang berketurunan Turki diserang pelbagai pihak dan dijadikan kambing hitam atas kegagalan Jerman kerana bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Mei lalu.
“Apa yang berlaku kepada pemain ini meninggalkan rasa yang tidak menyenangkan dalam mulut saya.
“Sudah tentu, perbuatannya kurang bijak apabila mengambil gambar tidak lama sebelum Piala Dunia, namun DFB sepatutnya mengendalikan isu dengan baik.
“Sekarang, semua orang menyerangnya, kualiti Mesut dipersoalkan. Kita patut bersatu dengan kuat dan bukan mahu menjadi populis.
“DFB sepatutnya bertindak dengan cara berbeza selepas gambar itu tersebar. Masalah ini sepatutnya diselesaikan sebelum Piala Dunia bermula.
“Kerja yang teruk daripada DFB, kepimpinan yang sangat lemah.
“Mereka hanya membiarkan masalah ini berkembang dan sebab itu semua orang mula menyerang Ozil,” katanya kepada Sky Germany.
Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Heiko Maas turut mempertahankan Ozil dengan menganggap Jerman gagal mempertahankan Piala Dunia bukan kerana pemain itu, sebaliknya kelemahan di atas padang.
“Masalah sebenar adalah di padang, Jerman tersingkir awal tiada kaitan dengan gambar yang diambil oleh Ozil bersama Erdogan. Saya lihat, ramai orang tidak berkelakuan baik dalam mengendalikan isu ini,” katanya kepada Sky Germany.
Ozil adalah tonggak yang membantu Jerman muncul juara dunia 2014, malah dia memiliki 92 cap antarabangsa bersama skuad Die Mannschaft dan lima kali dipilih sebagai pemain terbaik negara itu. – AGENSI










