Merong Pesta Hoki Tanah Merah medan lahirkan bakat terpendam - Utusan Malaysia

Merong Pesta Hoki Tanah Merah medan lahirkan bakat terpendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Satu pertandingan hoki yang dikenali sebagai Merong Pesta Hoki Tanah Merah 2018 akan diadakan di daerah Tanah Merah, Kelantan bersempena dengan cuti sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-61 pada 31 Ogos hingga 1 September depan.

Kejohanan yang julung kali diadakan ini dianjurkan Kelab Hoki Tanah Merah dengan kerjasama Kumpulan Merong dan akan dilangsungkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1, Kelantan.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Merong yang juga penasihat kejohanan, Mohd. Fauzi Mat Isa berkata, pihaknya mensasarkan penyertaan 100 pasukan dari seluruh negara dalam tiga kategori yang akan dipertandingkan.

“Kejohanan format 6 pemain sepasukan ini dibuka dalam tiga kategori iaitu Bawah 11 Tahun Lelaki dan Perempuan serta Bawah 14 Tahun Lelaki di mana kedua-dua kategori ini hanya terbuka kepada pasukan dari Kelantan sahaja, manakala satu kategori lagi ialah Premier Terbuka Lelaki dan Wanita.

“Setiap pasukan akan bermain secara liga sepusingan dalam kumpulan dengan format masa 10 minit sehala dan seterusnya akan mara ke peringkat kalah mati bermula di pusingan kedua hingga ke final,” kata Mohd. Fauzi.

Jumlah hadiah yang ditawarkan keseluruhannya bernilai RM15,000 termasuk wang tunai, medal, plak dan hamper termasuk anugerah individu turut diperkenalkan bagi Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, Penjaring Terbanyak dan Penjaga Gol Terbaik dalam setiap kategori.

“Hadiah bagi juara kategori Premier Terbuka Lelaki pula adalah sebanyak RM3,000,” tambahnya lagi.

Menurut Mohd. Fauzi, tujuan penganjuran kejohanan ini adalah bagi menambah bilangan penganjuran sukan hoki di negeri Kelantan yang mana sebelum ini hanya menyaksikan kejohanan anjuran Majlis Sukan-Sukan Kelantan (MSSK) dan Persatuan Hoki Kelantan (PHK) sahaja.

“Selain itu, matlamat utama ialah memberi pendedahan secara berterusan kepada pemain di perlbagai peringkat umur serta peluang kepada mereka untuk menunjukkan bakat seterusnya maju ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar Mohd. Fauzi lagi.

Pasukan yang berminat boleh hubungi atau menghantar mesej Whatsapp menerusi nombor 010-876 5009 (Man), 017-766 7625 (Husairi) atau 012-999 7190 (Yoe) untuk pendaftaran atau sebarang pertanyaan selain lawati laman Facebook Tanah Merah Hockey Club.

Kelab Hoki Tanah Merah (TMHC) ditubuhkan oleh bekas-bekas pemain hoki di daerah ini yang suatu ketika dahulu pernah menjadi antara gergasi dalam arena hoki di Kelantan serta ‘lubuk’ melahirkan pemain-pemain berwibawa serta pernah mewakili negara.

Pelbagai kejayaan pernah dikecapi olah anak-anak kelahiran Tanah Merah termasuk juara Kejohanan Juara-Juara Sekolah 1994, Juara 6’s Penang dan MSSM.

Antara pemain yang pernah mewakili negara pula ialah bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Hasmadi Ismail yang beraksi untuk Malaysia di Sukan SEA 1994 di Chiang Mai, Thailand. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN