Mercedes ikat Hamilton sehingga 2020 - Utusan Malaysia

Mercedes ikat Hamilton sehingga 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOCKENHEIM, Jerman 19 Julai – Juara Formula Satu (F1) dunia empat kali, Lewis Hamilton menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila menandatangani penyambungan kontrak dua tahun dan akan kekal bersama pasukan Mercedes sehingga 2020.

Pemandu Britain berusia 33 tahun itu bakal tamat kontrak pada hujung musim ini, dan rundingan sudah berjalan sejak beberapa bulan lalu sebelum dia akhirnya menurunkan tandatangan hari ini.

Tiada butiran lanjut mengenai nilai kontrak didedahkan oleh pasukan Mercedes, namun media Britain melaporkan, perjanjian baharu mencecah 40 juta pound (RM211.78 juta) setahun iaitu jumlah tertinggi pernah diterima Hamilton.

Dengan pengumuman yang dilakukan Mercedes hari ini, itu bermakna pemandu Australia, Daniel Ricciardo dijangka kekal di Red Bull dan perlu menunggu masa yang sesuai untuk menyertai Mercedes.

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas akan tamat kontrak pada hujung tahun ini, dan kedudukan pemandu Finland itu tidak dinyatakan oleh Mercedes.

“Penyambungan kontrak ini pada dasarnya menjadi formaliti sejak ketua pasukan, Toto (Wolff) dan saya duduk (berunding) pada musim sejuk. Lebih baik menurunkan tandatangan di atas kertas, mengumumkannya dan kemudian meneruskan urusan seperti biasa.

“Saya telah menjadi sebahagian daripada keluarga lumba Mercedes selama 20 tahun dan tidak pernah lebih bahagia dalam pasukan berbanding sekarang,” kata Hamilton, yang berada di Jerman untuk beraksi dalam Grand Prix Jerman, hujung minggu ini. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN