SAUDARA PENGARANG, REAKSI Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada 12 Julai lalu berhubung pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) di sekolah persendirian Cina amat mengecewakan.
Katanya, kerajaan tidak membuat ‘pusingan U’ apabila mahu mengiktiraf sijil yang datang dari sistem di luar pendidikan kebangsaan itu.
Adakah kenyataan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bersama Timbalannya, Teo Nie Ching berdasarkan kajian menyeluruh seperti yang beliau tekankan empat hari sebelumnya?
Maszlee juga menganggap konflik sebenar UEC kononnya adalah sesama pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Tidakkah Maszlee sebagai seorang ahli akademik dan bekas pensyarah universiti awam menyedari bahawa isu UEC sebenarnya melangkaui politik kepartian kerana menyentuh hal besar berkaitan kelangsungan pendidikan kebangsaan dan pengukuhan negara bangsa Malaysia?
Parti pemerintah boleh berubah setiap lima tahun tetapi pengukuhan negara bangsa Malaysia berakar pada prinsip dan nilai kebangsaan diperjuang dan digariskan oleh negarawan terdahulu yang tiada tempoh luputnya.
Pada 8 Julai lalu, Maszlee berkata, kajian menyeluruh akan dilakukan ketika timbalannya itu sudah mahu UEC diiktiraf secepat mungkin menjelang hujung tahun ini.
Namun, selepas empat hari dan berdiri di sebelah pemimpin DAP itu, beliau sendiri membuat ‘pusingan U’. Mengiktiraf UEC jelas menggadaikan bahasa kebangsaan bahkan sistem pendidikan kebangsaan apabila jurang sosial akan semakin melebar lantaran sijil sekolah persendirian Cina sudah laku untuk masuk universiti awam bahkan berkhidmat di sektor kerajaan.
Reaksi Maszlee bahawa, ‘tidak akan ada flip flop (berubah-rubah), dan ia (pengiktirafan UEC) mesti menyeluruh’ juga adalah bercanggah dengan hakikat dan semangat Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Mengiktiraf UEC itulah sebenarnya adalah satu tindakan ‘flip flop’ ketika kita semua maklum UEC adalah produk daripada sikap yang menolak sistem pendidikan kebangsaan sejak puluhan tahun lalu.
Benar, pengiktirafan UEC adalah salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH). Sama juga BN apabila memasukkan janji yang serupa. Namun, adakah taraf manifesto itu lebih tinggi daripada semangat Perlembagaan sehingga begitu akur untuk dipatuhi tanpa kompromi lagi?
Malaysia baharu yang selalu didendangkan pasca-9 Mei sepatutnya mengutamakan kepentingan nasional berbanding menjadi tukang angguk kepada tuntutan perkauman.
Bibit-bibit untuk mengiktiraf UEC begitu tergesa-gesa tidak sampai 100 hari pun PH mendapat mandat ketika banyak lagi janji manifesto lain belum nampak tunas. Ini memberi mesej yang salah kepada rakyat termasuk pengundi dan penyokong PH.
Isu UEC bukan pertembungan antara parti tetapi pertembungan nilai kebangsaan yang menjadi darah daging Malaysia dengan nilai perkauman yang mengancam kestabilan tanah air untuk jangka panjang.
Rakyat yang cinta dan taat setianya kepada tanah air ini akan melihat kerajaan tidak mengutamakan perpaduan rakyat dan mengkhianati negara.
Golongan oportunis dan ekstremis kaum pula akan terbeliak mata gembira melihat pengiktirafan UEC itu sebagai pembuka jalan untuk membuat lebih banyak lagi tuntutan sehingga tiba musim PRU-15 akan datang.
ARIF ATAN
Bukit Beruntung, Selangor










